Jumaat, Oktober 30, 2009

Bulan Zulkaedah


Zu ertinya "yang empunya". Qa'adah ertinya "duduk". Ini membawa erti bahawa bulan Zulkaedah ialah bulan untuk berehat-rehat. Sejak dari dahulu lagi, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab telah mengiktiraf bahawa Zulkaedah adalah satu bulan daripada empat bulan yang mulia dan diharamkan berperang. 
Maka masyarakat Arab jahiliah tidak keluar berperang pada bulan ini. Selain Zulkaedah, bulan Zulhijjah, Muharram dan Rejab juga adalah bulan haram (bulan yang dimuliakan dan diharamkan berperang). Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW mengekalkan kemuliaan empat bulan haram ini, mengekalkan namanya dan mengharamkan berperang padanya. Bersempena inilah dinamakan ia dengan "Zulkaedah".


KELEBIHAN BULAN ZULKAEDAH


Bulan Zulkaedah adalah satu dari empat bulan haram. Bulan haram adalah bulan yang amat dimuliakan. Bulan haram adalah bulan persaudaraan, perdamaian dan kemaafan. Masyarakat kafir Quraisy menangguhkan permusuhan dan peperangan di bulan haram maka kita sebagai umat Islam hendaklah lebih menghormati bulan-bulan haram ini.
Eratkan silaturrahim, yang bermusuh, damaikanlah, yang berdendam, berlapanglah dan yang renggang, rapatkanlah, InsyaAllah hidup penuh berkat dan harmoni. Tiada ibadah khusus dalam bulan Zulkaedah. Bulan Zulkaedah adalah bulan permulaan musim haji. Namun begitu sebahagian besar ulamak mengatakan bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan Zulkaedah berdasarkan Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah beliau di bulan Zulkaedah dan haji tamattu' juga dimulakan di bulan Zulkaedah. 
Daripada Abu Bakrah(1), sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya: 
Sesungguhnya zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit-langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan haram, tiga dari empat bulan ini berturut-turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara Jamadil Akhir dan Sya'aban.

PERISTIWA BERSEJARAH


1. Peperangan Bani Quraizah


Peperangan ini berlaku pada tahun ke 5 Hijrah. Setelah tentera Ahzab telah ditewaskan maka malaikat Jibril AS telah memberitahu Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah memerintahkan nabi agar pergi ke perkampungan Bani Quraizah. 
Bani Quraizah ialah satu puak Yahudi yang telah terlibat bergabung dengan tentera Ahzab, mengepung umat Islam semasa perang Ahzab. Rasulullah SAW yang masih belum sempat melucutkan pakaian perangnya telah mengerah tentera Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah sehinggalah mereka menyerah kalah. 


2. Perjanjian Hudaibiyah


Peristiwa ini terjadi pada bulan Zulkaedah, penghujung tahun ke 6 Hijrah. Antara sebab berlaku Perjanjian Hudaibiyah tersebut, Nabi SAW mengumumkan kepada kaum muslimin keinginan baginda Rasulullah SAW untuk berangkat pergi ke Mekkah bagi melaksanakan satu lagi ibadah iaitu dengan menunaikan ibadah umrah.
Hasil pengumuman tersebut yang diberitahu itu telah mendapat sambutan yang sangat baik oleh sekitar 1 400 orang sahabat dari kaum Muhajirin dan Ansar pada masa itu. Nabi Muhammad SAW berihram untuk ibadah umrah tersebut ditengah perjalanan dan membawa bersama-sama binatang yang boleh disembelih atau dikorbankan (al-hadyu) supaya ianya menjadi pentunjuk atau sebagai memberitahu kepada orang-orang lain bahawa Nabi Muhammad SAW keluar sedemikian bukan untuk bermaksud untuk berperang tetapi ianya semata-mata untuk menziarah ke Baitulullah iaitu Ka'abah, bagi menunaikan ibadah Umrah tersebut. 
Dalam perjalanan ke Makkah, Rasulullah SAW telah disekat oleh kafir Quraisy dan dihalang dari memasuki Makkah. Berlaku beberapa perundingan dan ia membawa kepada perjanjian damai yang dinamakan "Perjanjian Hudaibiyah". Dalam perjanjian itu, Rasulullah SAW dibenarkan memasuki Makkah dan mengerjakan umrah hanya pada tahun hadapan serta tahun seterusnya dan gencatan senjata selama sepuluh tahun di antara Makkah dan Madinah.


3. Bai'atur Ridwan


Peristiwa ini berlaku sebelum terjadinya Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW telah mengutus Usman RA ke Makkah untuk membahas masaalah mengapa rombongan Rasulullah SAW dihalang dari memasuki Makkah untuk mengerjakan umrah. Sesampainya di sana Usman bin Affan RA ditahan selama beberapa waktu oleh orang-orang Quraisy.
Dalam pada itu sampailah berita kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Usman bin Affan RA telah mati dibunuh oleh orang-orang Quraisy. Maka Nabi Muhammad SAW dengan lantangnya menyatakan tekadnya : "Kami tidak akan tinggal diam, hingga kami berhasil menumpas kaum Quraisy". 
Kemudian Rasulullah SAW mengajak berbai'at. Maka terjadilah Bai'atur Ridhwan di bawah sebatang pohon di tempat tersebut. Bai'at yang dimaksudkan ialah satu perjanjian yang berlaku antara Nabi Muhammad SAW bersama para-para sahabat yang ada ketika itu untuk bersatu padu dan bekerjasama menentang orang-orang kafir Quraisy. 
Para sahabat berbai'at kepada Nabi Muhammad SAW untuk tidak takut dan lari meninggalkan medan perang sebagai tanda membalas dendam di atas kematian yang menimpa sahabat baginda Rasulullah SAW. Sementara itu Rasulullah SAW menepukkan tangannya yang satu ke tangan yang lain seraya berkata : "Pembai'atan ini untuk Usman bin Affan". 
Setelah pembai'atan tersebut, yang mana telah didengari oleh pihak orang-orang Quraisy, barulah datang berita yang menyampaikan kepada Rasulullah SAW bahawa khabar terbunuhnya Usman bin Affan itu tidak benar.

 
4. Berlakunya Haji Wida'


Pada tanggal 25 Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah SAW meninggalkan Kota Madinah untuk menuju ke Kota Makkah bagi menunaikan Haji Wida' (Haji Penghabisan), baginda disertai seramai 10,000 kaum muslimin. 
Haji tersebut adalah haji pertama Rasulullah SAW dan yang terakhir bagi baginda. Rasulullah SAW hanya mengerjakan sekali sahaja ibadah haji dan empat kali ibadah umrah sepanjang umurnya mengikut catatan sejarah.

 
5. Kematian Syeikhul Islam, Ibnu Taimiyah


Nama lengkap Ibnu Taimiyah ialah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali. Beliau dilahirkan pada hari Isnin, 10 Rabiulawal 661 Hijrah bersamaan 22 Januari 1263 Masihi di Harran. Beliau adalah seorang yang amat berjasa dalam melaksanakan dasar "pembersihan" dalam Islam. 
Apabila umat Islam sudah mula menyimpang dan mencampur adukkan unsur-unsur bid'ah dan khurafat dalam ajaran Islam pada zamannya maka beliau tampil berusaha mengembalikan mereka ke landasan Islam yang sebenarnya. Beliau juga meninggalkan ratusan buah kitab karangannya yang menjadi rujukan sehingga sekarang. Karangan terbesarnya ialah Fatawa Ibnu Taimiyyah yang menjadi rujukan ahli fiqh dan hukum sehingga ke hari ini. Beliau meninggal dunia hari Isnin, 20 Zulkaedah 728 Hijrah. (28 September 1328 Masihi), dalam usia 67 tahun, setelah sakit dalam penjara lebih dari 20 hari. 
Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam keadaan membaca Al-Quran. Walaupun beliau juga seorang yang banyak dibenci orang kerana pendirian tegasnya, tetapi jenazah beliau diiringkan ke pusara oleh 200,000 orang lelaki dan 15,000 orang wanita.

Artikel:

Biro Agama Kelab ePerolehan
Bil 43/2009
Jumaat
30 Oktober 2009
11 Zulkaedah 1430 H 



Isnin, Oktober 26, 2009

Perhimpunan Pagi Bulan September 2009




Perucapan awam oleh Puan Nurul Huda. Tajuk Ucapan: Menghilangkan nafas berbau
Penerima Anugerah Khas eP setelah berkhidmat melebihi 10 tahun. En. Johari menerima anugerah tersebut dari Pengarah Projek ePerolehan.

Penerima Anugerah Khas eP menghargai kakitangan yang berkhidmat melebihi 10 tahun. Cik Azlin menerima anugerah tersebut dari Pengarah Projek ePerolehan


Pengumuman dari Setiausaha Kelab eP


Pengumuman berkenaan Audit 5S oleh Puan Nurul Huda


Encik Johari memperkenalkan diri



Cik Erni memperkenalkan diri


Suasana Ceria semasa perhimpunan


Bersedia untuk perhimpunan pagi

Kakitangan eP bersedia dalam barisan untuk perhimpunan

Makanan yang di bawa secara pot luck


Sesi Perhimpunan Pagi merupakan acara bulanan yang diadakan di Unit eP. Semasa Perhimpunan ini, pengumuman dan hebahan dilakukan untuk pengetahuan dan tindakan semua kakitangan. Tidak ketinggalan juga amanat dari Pengarah Projek eP kepada semua kakitangan. Pegawai dan kakitangan yang baru juga diperkenalkan semasa majlis tersebut. Bagi melicinkan perjalanan majlis, Pegawai dan kakitangan Unit eP dilantik secara giliran untuk menguruskan majlis tersebut. Pada Minggu ini pegawai dan kakitangan yang bertugas adalah seperti berikut:

Pengerusi: Encik Annuar bin Ahmad
Pembaca Ikrar: Cik Farah Farhana binti Azmi
Pembaca Doa: Encik Nor Irfhan bin Nor Azman
Perucapan Awam: Puan Nurul Huda binti Mohamed

Perhimpunan pagi pada 26 September 2009 berbeza dengan perhimpunan yang diadakan bulan-bulan lepas. Pegawai dan kakitangan Unit eP bersepakat membuat sedikit jamuan ringan selepas perhimpunan diadakan. Semua makanan tersebut disediakan secara pot luck. Acara ini secara tidak langsung dapat mengeratkan perhubungan antara rakan sekerja.

Selain itu dua orang pegawai baru memperkenal diri pada perhimpunan pada pagi ini. Mereka ialah En.Johari bin Ismail dan Erni Syazarina. ( Maklumat lanjut rujuk blog akan datang ).

Unit eP tidak ketinggalan menghargai sumbangan dan jasa yang dicurahkan oleh kakitangannya. Satu Anugerah diberikan kepada Cik Azlin binti Md. Ali dan Encik Johari bin Ismail keatas sumbangan mereka yang bertugas selama 10 tahun di Unit eP. Sekalung Penghargaan kepada mereka berdua dari seluruh warga Unit eP.

Jumaat, Oktober 23, 2009

Tanda-tanda Sihir, Saka dan Histeria

Terdapat beberapa tanda umum yang boleh dijadikan garis panduan dalam menentukan seseorang itu adalah mangsa sihir, saka, kerasukan (gangguan), histeria iaitu : 

1. Sakit tulang belakang tanpa sebab.
2. Sakit kepala yang luar biasa dan berterusan tanpa sebab klinikal. 
3. Sakit di bahagian tulang rusuk kiri @ kanan. 
4. Sakit di bahagian tulang punggung tanpa sebab.
5. Sakit di bahagian perut tanpa sebab. 
6. Istihadah (darah yang keluar melebihi 15 hari). 
7. Terasa ada sesuatu yang mengekori anda.
8. Terasa ada sesuatu yang melintas di belakang anda. 
9. Sering sesak nafas terutama menjelang waktu maghrib dan tengah malam.
10. Timbul rasa takut tanpa sebab. 
11. Nampak bayangan yang menakutkan.
12. Nampak suatu makhluk yang aneh dan menyeramkan. 
13. Terasa seperti ada sesuatu yang menolak ketika berada dalam tandas. 
14. Sukar untuk lelapkan mata. 
15. Sering kali mimpi yang menakutkan. 
16. Sering kali mimpi binatang seperti ular, kala jengking dan lain-lain.
17. Dihimpit sesuatu ketika tidur. 
18. Mimpi bayi@kanak-kanak. 
19. Mimpi jatuh dari tempat yang tinggi.
20. Mimpi ke tempat kotor,sunyi dan menakutkan. 
21. Terdengar suara yang datang menyergah ketika tidur.
22. Terasa ada sesuatu yang menyentap kaki ketika tidur. 
23. Sering kali pengsan tanpa sebab. 
24. Takut untuk menziarahi jenazah. 
25. Adanya bisikan yang meminta mangsa melakukan sesuatu yang dilarang Allah.
26. Ragu–ragu tentang keimanan. 
27. Rasa seperti hampir menemui ajal.

Kesan-kesan :
1. Boleh membawa maut jika sampai ajal. 
2. Gila, bingung, kelakuan seperti orang bodoh. 
3. Perpecahan hubungan kekeluargaan. 
4. Sakit yang berpanjangan dan para pakar perubatan moden tidak dapat mengenal pasti penyakit berkenaan. 
5. Andartu bagi gadis. 
6. Hilang pangkat, harta benda dan kerjaya.

Artikel Sumbangan Biro Agama Kelab ePerolehan (eP)

Nota Kaki:

Biro Agama Kelab eP menerbitkan risalah pada setiap Jumaat. Artikel diatas diambil dari risalah bil 42/2009 yang diedarkan pada 23 Oktober 2009 bersamaan 4 Zulkaedah 1430H. 

Isnin, Oktober 19, 2009

Sejarah Ringkas Unit ePerolehan

6 Julai 1999, satu kontrak telah ditandatangani antara Kerajaan dengan Syarikat Commerce Dot Com Sdn. Bhd. (CDCSB) bagi pembangunan sistem perolehan Kerajaan secara elektronik yang melibatkan Modul Pendaftaran Pembekal, Kontrak Pusat, Pembelian Terus, Tender, Sebut Harga dan Kontrak Kementerian. Bagi membantu membangunkan Sistem ePerolehan, satu unit khas yang dikenali sebagai Unit ePerolehan telah diwujudkan di Perbendaharaan Malaysia.

Program Tadarus Al-Quran Sempena Ramadhan Al-Mubarak



Sepanjang bulan Ramadhan 1430H, Kelab Sukan dan Kebajikan, Unit ePerolehan menganjurkan tadarus al-Quran. Semua pegawai dan kakitangan yang beragama Islam tidak melepaskan peluang menyertai program tadarus ini. Program ini dimulakan pada jam 8.30 pagi selama 10 minit yang diperdengarkan melalui sistem pembesar suara dalaman dan bacaan al-Quran ini dibaca bersama-sama terjemahannya. Selepas bacaan al-Quran, seorang pegawai ditugaskan untuk membaca doa harian dan renungan hadith. Aktiviti bacaan doa harian dan renungan hadith ini tidak hanya dilakukan sepanjang bulan Ramadhan sahaja, tetapi juga pada setiap hari bekerja.

Anugerah Pekerja Terbaik Bulan Ogos 2009





Jawatankuasa Khas Pemilihan Anugerah Pekerja Terbaik bulanan telah memilih Cik Nor Azirah Binti Ab. Manaf untuk menerima anugerah ini untuk bulan Ogos 2009. Menurut Ketua Bahagian Dasar dan Pelaksanaan, Puan Wan Siti Eshah binti Wan Ahmad, pemilihan beliau adalah berdasarkan perkhidmatan cemerlang yang telah diberikan. Selain itu, Cik Azirah mempunyai sikap bertanggungjawab dan memberi komitmen yang tinggi dalam menjalankan tugas-tugas yang diarahkan. Beliau sentiasa berusaha menghasilkan kerja yang bermutu dan sempurna.

Anugerah Pekerja Terbaik Bulan Julai 2009



Sumbangan pekerja dalam memajukan sesebuah organisasi tidak dapat dipertikaikan. Untuk menghargai sumbangan pegawai/kakitangan di Unit ePerolehan, Bahagian Pengurusan Unit ePerolehan mengadakan Anugerah Pekerja Terbaik secara bulanan. Anugerah ini untuk menghargai sumbangan dan komitmen yang telah diberi oleh pegawai/kakitangan demi mencapai matlamat dan kejayaan Unit ePerolehan.

Bulan Julai 2009 merupakan bulan yang bertuah untuk Cik Azlin binti Md Ali. Beliau merupakan pegawai pertama yang dipilih sebagai pekerja terbaik dikalangan 3 calon dari bahagian lain. Menurut Ketua bahagian T(1), Puan Miguaty binti Adam, Cik Azlin seorang pegawai yang sangat komited dan bertanggungjawab dalam melaksanakan semua tugasan yang diberikan kepadanya. Seorang pegawai yang rajin dan mempunyai sifat untuk belajar bagi keperluan kerjayanya. Selain itu beliau seorang yang sangat berdisiplin dan mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.

Cik Azlin merupakan antara pegawai perintis dalam penubuhan Unit ePerolehan. Beliau ditawarkan ke Unit ePerolehan pada tahun 1999. Mula berkhidmat di Unit ePerolehan dari tahun 2000 sehingga kini. Beliau berkhidmat dengan semua pengarah di Unit ePerolehan. Menurut beliau semua Pengarah di Unit ePerolehan mempunyai kelebihan masing-masing bagi mencapai visi dan misi jabatan. Harapan beliau adalah supaya Sistem ePerolehan mencapai misi utamanya iaitu menjadikan sistem ini sebagai mekanisme perolehan utama yang diguna pakai oleh semua agensi kerajaan di Malaysia.

Taklimat Pembekal di Negeri Kelantan & Terengganu






Pada 26 hingga 30 Julai 2009 yang lalu, Seksyen Pelaksanaan Pembekal, Unit ePerolehan dan Commerce Dot Com Sdn. Bhd. telah menganjurkan taklimat pembekal di negeri Kelantan (26 & 27 Julai 2009) dan Terengganu (29 & 30 Julai 2009). Taklimat siri ke 7 dan ke 8 ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada pembekal-pembekal Kerajaan Pmengenai Sistem ePerolehan di negeri-negeri Pantai Timur. Sebelum ini program taklimat yang sama telah diadakan di negeri Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Program selama 2 hari ini telah diadakan di Dewan Kastam Diraja Malaysia, Kota Bharu, Kelantan dan Dewan Kastam Diraja Malaysia, Kuala Terengganu, Terengganu. Seramai 160 orang pembekal di Kelantan dan 190 orang pembekal di Terengganu telah menghadiri taklimat tersebut masing-masing. Program ini turut disertai oleh wakil dari Bahagian Perolehan Kerajaan, Perbendaharaan Malaysia, bagi tujuan urusan pendaftaran syarikat dan proses tambah bidang kepada pembekal-pembekal yang berminat.

Menurut salah seorang pembekal yang hadir, taklimat seperti ini harus diadakan dengan lebih kerap bagi memberi peluang kepada pembekal-pembekal di luar Lembah Klang untuk memperolehi peluang menimba maklumat berkenaan Sistem ePerolehan. Beliau juga menyatakan kehadiran wakil dari Bahagian Perolehan Kerajaan yang menyertai program ini juga membantu mereka dari ditipu oleh pihak-pihak ketiga yang membuat pendaftaran syarikat. Program ini dianggap berjaya dan akan diteruskan ke Melaka, Sabah dan Sarawak selepas bulan Ramadhan ini.


Pelancaran Program eP@DESA






Pada 7 Ogos 2009, Yang Berusaha Puan Wan Siti Eshah Binti Wan Ahmad, Ketua, Bahagian Dasar dan Pelaksanaan, Unit ePerolehan, telah merasmikan Majlis Program Orientasi eP@Desa di Institut Latihan KWSP. Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Encik Muhammad Azlan Bin Zakaria, Ketua Penolong Pengarah, Seksyen PPelaksanaan Pembekal, Unit ePerolehan dan Encik Othman Bin Semail, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Perolehan Kerajaan, Perbendaharaan Malaysia.

Perasmian ini sempena Program Orientasi kepada penyelia-penyelia Pusat Internet Desa (PID) dan Medan Info Desa (MID). Program selama 4 hari 3 malam ini mendapat kerjasama daripada Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Program Orientasi eP@Desa ini bertujuan melatih 32 orang penyelia PID dan MID bagi menjadi penghubung perkhidmatan Kerajaan elektronik antara Agensi Kerajaan dan Usahawan Luar Bandar melalui Sistem ePerolehan.

Sepanjang program ini, peserta-peserta telah didedahkan kepada cara-cara mempromosi Sistem ePerolehan kepada pembekal, latihan praktikal penggunaan modul-modul ePerolehan terutamanya dari segi pengguna kalangan pembekal, aktiviti-aktiviti produk tambah nilai ePerolehan, cara-cara bagi pelaksanaan khidmat ePerolehan di premis masing-masing dan pentadbiran serta bantuan yang diperlukan untuk perkhidmatan ePerolehan.


Akhir kalam, semoga Program eP@Desa ini akan melebarkan perkhidmatan setempat ePerolehan merangkumi aktiviti promosi, khidmat runding, penyediaan infrastruktur dan jualan produk berkaitan ePerolehan kepada masyarakat pembekal di luar bandar.

Taklimat Sebut Harga, Tender dan eBidding





Bermula pada Jun 2008 hingga Jun 2009, Unit ePerolehan telah mengadakan sebanyak 45 sesi Taklimat & Latihan Sebut Harga, Tender dan eBidding bagi semua PTJ-PTJ di kawasan Lembah Klang. Ini adalah selaras dengan penguatkuasaan Surat Pekeliling Perbendaharaan (SPP) Bilangan 6/2008 dan Bilangan 3/2009 yang menekankan Bpenggunaan dan tatacara modul Sebut Harga, Tender dan eBidding. Sesi latihan dan taklimat yang telah diadakan juga dilihat dapat mengoptimakan penggunaan modul Sebut Harga dan Tender bagi pengguna-pengguna Kerajaan dan juga titik pengenalan kepada modul eBidding yang juga merupakan salah satu inovasi terbaru dalam perolehan elektronik. Objektif utama sesi ini adalah untuk menggalakkan semua PTJ yang ePerolehan enabled menggunakan Sistem ePerolehan dalam membuat perolehan, membantu PTJ-PTJ yang belum atau tidak mahir menggunakan Sistem ePerolehan di samping memberikan penyelesaian dan penjelasan secara terus kepada pengguna terhadap sebarang kemusykilan, isu dan masalah yang dibangkitkan. Kesemua PTJ-PTJ di kawasan Lembah Kelang yang melaksanakan perolehan secara Sebut Harga dan Tender telah diberikan latihan untuk modul ini di pelbagai tempat, di antaranya Makmal Komputer Perbendaharaan Malaysia, Makmal Komputer Jabatan Akauntan Negara, Makmal Komputer Jabatan Penilaian & Perkhidmatan Harta dan eP Shoppe (milik CDCSB) di Shah Alam. Terdapat juga PTJ di Lembah Kelang yang diberikan taklimat dan diikuti dengan transaksi secara live dengan bantuan CDCSB.

Selain daripada sesi latihan dan taklimat ini, Unit ePerolehan telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan sesi Taklimat SPP bagi Sebut Harga, Tender dan eBidding bagi pengguna-pengguna kerajaan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Taklimat SPP ini telah diadakan pada 10 dan 11 Mac 2009 di Dewan Teater, Perbendaharaan Malaysia, 17 hingga 20 Mei 2009 di Bangunan Sultan Iskandar, Kuching, Sarawak dan 25 hingga 28 Mei 2009 di Kompleks Persekutuan Kerajaan Sabah. Ini bertujuan untuk memastikan pemberitahuan bagi pelaksanaan SPP yang berkenaan diberi perhatian oleh semua PTJ dan di samping memberikan penekanan terhadap peri pentingnya penggunaan modul-modul tersebut yang dapat menyumbang kepada 70% perolehan yang perlu dibuat secara atas talian, yakni melalui Sistem ePerolehan.

Bagi memastikan semua PTJ yang telah ePerolehan enabled mampu melaksanakan sendiri perolehan secara Sebut Harga, Tender dan eBidding secara atas talian, sesi taklimat dan latihan telah dirancang untuk dipanjangkan kepada PTJ-PTJ di luar kawasan Lembah Klang mengikut zon. Bagi sukuan ke empat tahun 2009, sesi taklimat dan latihan ini telah dirancang untuk diadakan di Sabah dan Sarawak memandangkan PTJ-PTJ yang menggunakan modul-modul tersebut telah pun dikenal pasti. Bagi membantu Unit ePerolehan dalam mewujudkan satu sesi yang komprehensif dan berkesan, satu sesi taklimat dan latihan Sebut Harga, Tender dan eBidding menerusi Sistem ePerolehan telah diadakan di INTAN Kluang (IKWAS) pada 28 dan 29 Julai 2009 yang lalu di mana sesi ini telah dijadikan projek perintis sebelum kursus ePerolehan untuk modul Sebut Harga, Tender dan eBidding diadakan kepada PTJ-PTJ ePerolehan enabled di kawasan luar Lembah Klang. Projek perintis ini membolehkan Unit ePerolehan menilai keberkesanan, respons dan tahap kebersediaan PTJ di luar Lembah Klang di samping dapat melakukan beberapa penambahbaikan kepada format sesi latihan yang sedia ada.


Tahukah Anda?

Tahukah anda bahawa Modul eBidding telah membantu Unit ePerolehan memenangi tempat ketiga dalam Pertandingan Anugerah Inovasi Terbaik dalam Anugerah Kualiti Sempena Sambutan Hari Kualiti Peringkat Kementerian Kewangan pada tahun 2007? Tajuk pembentangan tersebut adalah ‘eBidding - Anjakan paradigma Bagi Perolehan Kerajaan.

eBidding:Dicalonkan Untuk Anugerah AIPA Dan APICTA








Anugerah AIPA merupakan satu anugerah yang memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap inovasi yang dilakukan oleh agensi Kerajaan. Dari 158 penyertaan, Modul eBidding merupakan salah satu dari 20 calon yang telah dikenal pasti amat berpotensi untuk menerima anugerah ini.  Anugerah APICTA pula merupakan satu anugerah antarabangsa yang mengiktiraf individu, pelajar, agensi dan SME yang memberi sumbangan terhadap pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC).

Modul eBidding, modul yang telah dibangunkan oleh Unit ePerolehan untuk proses bidaan perolehan Kerajaan atas talian telah dicalonkan untuk dua anugerah tertinggi iaitu Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam (AIPA) dan Asean Pacific Information Technology Award (APICTA).


Modul eBidding telah dibentangkan untuk proses penjurian pada 3 September 2009 bagi anugerah AIPA manakala APICTA dibentangkan pada 2 September 2009. Unit ePerolehan mengucapkan syabas dan tahniah kepada Seksyen Dasar, Seksyen Teknikal B dan Seksyen Teknikal Operasi di atas kesungguhan dan komitmen yang tinggisehingga diberi pengiktirafan seperti ini. Semoga Modul eBidding terpilih sebagai pemenang untuk AIPA dan APICTA.