Isnin, Oktober 19, 2009

Anugerah Pekerja Terbaik Bulan Julai 2009



Sumbangan pekerja dalam memajukan sesebuah organisasi tidak dapat dipertikaikan. Untuk menghargai sumbangan pegawai/kakitangan di Unit ePerolehan, Bahagian Pengurusan Unit ePerolehan mengadakan Anugerah Pekerja Terbaik secara bulanan. Anugerah ini untuk menghargai sumbangan dan komitmen yang telah diberi oleh pegawai/kakitangan demi mencapai matlamat dan kejayaan Unit ePerolehan.

Bulan Julai 2009 merupakan bulan yang bertuah untuk Cik Azlin binti Md Ali. Beliau merupakan pegawai pertama yang dipilih sebagai pekerja terbaik dikalangan 3 calon dari bahagian lain. Menurut Ketua bahagian T(1), Puan Miguaty binti Adam, Cik Azlin seorang pegawai yang sangat komited dan bertanggungjawab dalam melaksanakan semua tugasan yang diberikan kepadanya. Seorang pegawai yang rajin dan mempunyai sifat untuk belajar bagi keperluan kerjayanya. Selain itu beliau seorang yang sangat berdisiplin dan mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.

Cik Azlin merupakan antara pegawai perintis dalam penubuhan Unit ePerolehan. Beliau ditawarkan ke Unit ePerolehan pada tahun 1999. Mula berkhidmat di Unit ePerolehan dari tahun 2000 sehingga kini. Beliau berkhidmat dengan semua pengarah di Unit ePerolehan. Menurut beliau semua Pengarah di Unit ePerolehan mempunyai kelebihan masing-masing bagi mencapai visi dan misi jabatan. Harapan beliau adalah supaya Sistem ePerolehan mencapai misi utamanya iaitu menjadikan sistem ini sebagai mekanisme perolehan utama yang diguna pakai oleh semua agensi kerajaan di Malaysia.