Isnin, Oktober 19, 2009

Taklimat Sebut Harga, Tender dan eBidding





Bermula pada Jun 2008 hingga Jun 2009, Unit ePerolehan telah mengadakan sebanyak 45 sesi Taklimat & Latihan Sebut Harga, Tender dan eBidding bagi semua PTJ-PTJ di kawasan Lembah Klang. Ini adalah selaras dengan penguatkuasaan Surat Pekeliling Perbendaharaan (SPP) Bilangan 6/2008 dan Bilangan 3/2009 yang menekankan Bpenggunaan dan tatacara modul Sebut Harga, Tender dan eBidding. Sesi latihan dan taklimat yang telah diadakan juga dilihat dapat mengoptimakan penggunaan modul Sebut Harga dan Tender bagi pengguna-pengguna Kerajaan dan juga titik pengenalan kepada modul eBidding yang juga merupakan salah satu inovasi terbaru dalam perolehan elektronik. Objektif utama sesi ini adalah untuk menggalakkan semua PTJ yang ePerolehan enabled menggunakan Sistem ePerolehan dalam membuat perolehan, membantu PTJ-PTJ yang belum atau tidak mahir menggunakan Sistem ePerolehan di samping memberikan penyelesaian dan penjelasan secara terus kepada pengguna terhadap sebarang kemusykilan, isu dan masalah yang dibangkitkan. Kesemua PTJ-PTJ di kawasan Lembah Kelang yang melaksanakan perolehan secara Sebut Harga dan Tender telah diberikan latihan untuk modul ini di pelbagai tempat, di antaranya Makmal Komputer Perbendaharaan Malaysia, Makmal Komputer Jabatan Akauntan Negara, Makmal Komputer Jabatan Penilaian & Perkhidmatan Harta dan eP Shoppe (milik CDCSB) di Shah Alam. Terdapat juga PTJ di Lembah Kelang yang diberikan taklimat dan diikuti dengan transaksi secara live dengan bantuan CDCSB.

Selain daripada sesi latihan dan taklimat ini, Unit ePerolehan telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan sesi Taklimat SPP bagi Sebut Harga, Tender dan eBidding bagi pengguna-pengguna kerajaan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Taklimat SPP ini telah diadakan pada 10 dan 11 Mac 2009 di Dewan Teater, Perbendaharaan Malaysia, 17 hingga 20 Mei 2009 di Bangunan Sultan Iskandar, Kuching, Sarawak dan 25 hingga 28 Mei 2009 di Kompleks Persekutuan Kerajaan Sabah. Ini bertujuan untuk memastikan pemberitahuan bagi pelaksanaan SPP yang berkenaan diberi perhatian oleh semua PTJ dan di samping memberikan penekanan terhadap peri pentingnya penggunaan modul-modul tersebut yang dapat menyumbang kepada 70% perolehan yang perlu dibuat secara atas talian, yakni melalui Sistem ePerolehan.

Bagi memastikan semua PTJ yang telah ePerolehan enabled mampu melaksanakan sendiri perolehan secara Sebut Harga, Tender dan eBidding secara atas talian, sesi taklimat dan latihan telah dirancang untuk dipanjangkan kepada PTJ-PTJ di luar kawasan Lembah Klang mengikut zon. Bagi sukuan ke empat tahun 2009, sesi taklimat dan latihan ini telah dirancang untuk diadakan di Sabah dan Sarawak memandangkan PTJ-PTJ yang menggunakan modul-modul tersebut telah pun dikenal pasti. Bagi membantu Unit ePerolehan dalam mewujudkan satu sesi yang komprehensif dan berkesan, satu sesi taklimat dan latihan Sebut Harga, Tender dan eBidding menerusi Sistem ePerolehan telah diadakan di INTAN Kluang (IKWAS) pada 28 dan 29 Julai 2009 yang lalu di mana sesi ini telah dijadikan projek perintis sebelum kursus ePerolehan untuk modul Sebut Harga, Tender dan eBidding diadakan kepada PTJ-PTJ ePerolehan enabled di kawasan luar Lembah Klang. Projek perintis ini membolehkan Unit ePerolehan menilai keberkesanan, respons dan tahap kebersediaan PTJ di luar Lembah Klang di samping dapat melakukan beberapa penambahbaikan kepada format sesi latihan yang sedia ada.