Isnin, Oktober 19, 2009

Pelancaran Program eP@DESA






Pada 7 Ogos 2009, Yang Berusaha Puan Wan Siti Eshah Binti Wan Ahmad, Ketua, Bahagian Dasar dan Pelaksanaan, Unit ePerolehan, telah merasmikan Majlis Program Orientasi eP@Desa di Institut Latihan KWSP. Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Encik Muhammad Azlan Bin Zakaria, Ketua Penolong Pengarah, Seksyen PPelaksanaan Pembekal, Unit ePerolehan dan Encik Othman Bin Semail, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Perolehan Kerajaan, Perbendaharaan Malaysia.

Perasmian ini sempena Program Orientasi kepada penyelia-penyelia Pusat Internet Desa (PID) dan Medan Info Desa (MID). Program selama 4 hari 3 malam ini mendapat kerjasama daripada Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Program Orientasi eP@Desa ini bertujuan melatih 32 orang penyelia PID dan MID bagi menjadi penghubung perkhidmatan Kerajaan elektronik antara Agensi Kerajaan dan Usahawan Luar Bandar melalui Sistem ePerolehan.

Sepanjang program ini, peserta-peserta telah didedahkan kepada cara-cara mempromosi Sistem ePerolehan kepada pembekal, latihan praktikal penggunaan modul-modul ePerolehan terutamanya dari segi pengguna kalangan pembekal, aktiviti-aktiviti produk tambah nilai ePerolehan, cara-cara bagi pelaksanaan khidmat ePerolehan di premis masing-masing dan pentadbiran serta bantuan yang diperlukan untuk perkhidmatan ePerolehan.


Akhir kalam, semoga Program eP@Desa ini akan melebarkan perkhidmatan setempat ePerolehan merangkumi aktiviti promosi, khidmat runding, penyediaan infrastruktur dan jualan produk berkaitan ePerolehan kepada masyarakat pembekal di luar bandar.